Pages

Khamis, 22 September 2011

Kita Johan Solar Boat dan Naib Johan Solar Car Kebangsaan

Pada 19 hingga 22 September lalu telah dilangsungkan Karnival Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Empress Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor.  Alhamdulillah, SMT Jasin yang mewakili negeri Melaka dalam acara Solar Boat dan Solar Car telah berjaya mencapai misinya.  Pasukan Solar Boat Melaka yang diwakili oleh SMT Jasin muncul juara sementara peserta SMT Jasin yang menyertai acara solar car pula mendapat naib juara kebangsaan.  Pasukan SMT Jasin dipimpin oleh Cikgu Mohd Rizal bin Mazlan dan Cikgu Rosman bin Ramli.   Peserta SMT Jasin bagi acara Boat Solar di wakili oleh Nur Iman Johari (5 PKE1), Mohd Farid Othman (5 PKE1) dan Fatin Farhana bte Samsul (5 PKA4) sementara bagi acara Solar Car pula diwakili oleh Mohd Hafiz bin Roslan (5PKE1), Mohd Azhad bin Azman (5 Integrasi) dan Dinesh a/l K Suppiah (5 PKM1).  Hadiah dan sijil telah disampaikan oleh Tn Hj Mohd Rosli bin Hj Hassan (Pengarah Bahagian KOKU dan Kesenian KPM).  Acara lain yang dipertandingkan dalam karnival berkenaan ialah acara Ureka Science, Solar Cooking With Nature, inovasi dan rekacipta, serta Story Telling.

Cg Rosman dan Cg Rizal bersama pelajar-pelajar
SMT Jasin yang menjadi johan acara Solar Boat

Pasukan Solar Car gembira dengan kemenangan
Naib Johan Kebangsaan

Bersama pegawai kontijen Negeri Melaka

Peserta kita sedang menunggu di bilik kuaratin
sebelum membuat presentasi

Sibuk menyediakan bahan untuk pertandingan

Peluncuran Solat Boat sedang beraksi

Para peluncur Solar Car menanti untuk melepaskan
kereta solar masing-masing


Naib Juara Pertandingan Menembak

Bangga juga rasanya kerana berjaya muncul sebagai naib johan kategori individu dalam pertandingan menembak anjuran Balai Polis Jasin baru-baru ini.  Acara ini telah disertai oleh ketua-ketua jabatan seluruh Daerah Jasin.  Antara yang menyertainya ialah pegawai-pegawai dari JKR, RELA, Pejabat Pelajaran Daerah, Bomba, Majlis Daerah Jasin, JPJ, Hospital Jasin, Politeknik Merlimau dan lain-lain lagi termasuk pegawai dari Balai Polis Jasin.  Alhamdulillah, tidak disangka saya berjaya menjadi naib juara untuk dua acara individu iaitu menembak menggunakan pistol posisi berdiri dan menembak dengan posisi duduk.  Juara bagi kedua acara tersebut ialah Ketua Polis Jasin  iaitu DSP Che Suza bin Che Hitam.  Bagi acara kumpulan pula, saya dan empat rakan lain berjaya menjadi johan.  Jadi kesimpulannya, saya berjaya membawa balik tiga hadiah.  Walaupun cuma pingat plastik je ... tapi sangat bermakna.

Hadiah yang diterima
Menembak di lapang sasar IPK
Bukit Beruang, Melaka
Sasaran menanti untuk tembakan
Bergambar dengan beberapa
orang kenalan baru
Kalau badan tu kurus lagi ... tentu
boleh tembak lebih tepat kot ..
Terima hadiah daripada
Pegawai Daerah Jasin
Acara menembak sedang berlangsung
Dapat lagi hadiah. Ditengah tu ialah
Ketua Polis Jasin iaitu
DSP Che Suza

Selasa, 20 September 2011

Projek Buku Fokus SPM Menuju Ke Fasa Akhir

Saya harap semua Ketua Panitia subjek berkenaan telah pun berada diperingkat akhir proses kemaskini menyiapkan hardcopy Buku Fokus untuk dicetak segera sebelum diedarkan kepada pelajar tingkatan 5 sebagai persediaan akhir menghadapi peperiksaan bertulis SPM mulai 11 November 2011 nanti.  Untuk makluman semua, rekabentuk muka depan yang seragam untuk semua subjek telah disiapkan oleh Encik Norman.  Pihak PIBG telah bersetuju untuk membiayai sebahagian kos cetakan dan sebahagian lagi disumbangkan oleh pelajar sendiri.

Contoh Cover Depan Buku Fokus
Bagi Subjek Fizik

Memartabatkan Pendidikan Vokasional

APABILA transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun 2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira kurang berpeluang untuk ke menara gading jika dibandingkan dengan sebahagian rakan-rakan mereka daripada aliran akademik yang akan memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas menamatkan peperiksaan SPM.  Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga. Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun iaitu semasa berada di tingkatan satu.

Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam sistem pendidikan telah diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya sangat ramai kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi sesebuah negara. Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013 nanti memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu.  Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. 

Sementara itu pelajar yang mengikuti aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi peluang mengikuti pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat.  Kurikulumnya merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak industri.  Sudah sampai masanya diperkenalkan bidang bertahap tinggi seperti aviation, maritime, oil and gas, ICT, kejuruteraan, perakaunan, pengajian perniagaan dan lain-lain dalam aliran ini.  Dengan kata lain usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju.  Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional. Bilangan ini dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan 28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda 68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara puratanya ialah sebanyak 44%.  

Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bilangan pelajar vokasional akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2013. Jumlah ini boleh dicapai sekiranya pihak swasta diberi peluang dan dilibatkan sama bagi menyediakan kemudahan pendidikan tersebut.  Mengapakah perlu dilakukan transformasi pendidikan vokasional ini?  Perubahan ini diperlukan tidak lain tidak bukan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan.  Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.  Dilaporkan juga hampir 80% daripada tenaga kerja yang memasuki pasaran pekerjaan adalah mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM. Kelayakan akademik tanpa kemahiran teknikal ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan. Pendapatan permulaan sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.  

Sekiranya mereka mempunyai kelulusan diploma pendapatan permulaan boleh meningkat di antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Peningkatan pendapatan ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang menyasarkan pendapatan tinggi di kalangan pekerja dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.  Memartabatkan aliran pendidikan ini juga ada kaitan dengan usaha membantu kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan. Peningkatan pertambahan penduduk dan jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah lebih daripada setengah juta orang setiap tahun menyukarkan pihak kerajaan dan swasta menyediakan pekerjaan.  

Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik minat lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya pendidikan ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan yang tinggi kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut menggalakkan anak-anak mereka mengambil peluang untuk mengikuti aliran ini.  Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju dalam tahun 2020.

(Sumber : Utusan Malaysia Online 19 September 2011)

Ahad, 18 September 2011

Selamat Bersara Encik G. Krishenam (GPK KOKU)

Saya ingin mengucapkan selamat bersara kepada Encik G. Krishenam, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMT Jasin.  Sempena persaraan beliau, pihak sekolah akan mengadakan satu majlis khas pada 19 September di Dewan Besar SMT Jasin mulai jam 10.30 pagi.  Bersamalah kita meraikan Encik G. Krishenam yang telah banyak menyumbangkan jasanya khususnya kepada SMT Jasin serta bidang pendidikan umumnya sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Muka depan buku program majlis persaraan
Encik G. Krishenam
Laluan kerjaya Encik G. Krishenam

Profil Encik G. Krishenam