Selasa, 14 Mei 2013

Guru Itu Satu Taruhan

"Guru Itu Satu Taruhan" .... begitulah tajuk sajak ciptaan abang saya cg Abdul Razzaq @ Razali Dolmat (Ludba Qazzar).  Cubalah kita semua menghayatinya.


Isnin, 13 Mei 2013

Selamat Hari Guru Kepada Guru SMT Jasin




Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama' yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang Guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah di Hujung Desa
Dia adalah guru mewakili seribu buku.

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Program Sarana Sekolah dan Sarana Ibu Bapa

Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah ialah merupakan inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.  Terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sarana Ibu bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak. Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

 Imej sekolah yang selama ini dilihat sebagai kepunyaan guru dan murid semata-mata perlu ditukar bagi menarik minat ibu bapa dan masyarakat bekerjasama dengan sekolah demi kepentingan pelajar. Ini adalah selaras dengan Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dimana satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi ialah bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak dengan bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan dokumen Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah bagi menyatukan setiap pihak berkepentingan kerana penglibatan semua pihak amat diperlukan untuk melahirkan aset negara yang berkualiti tinggi.   Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari keperluan dan kemudahan anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa di rumah.  Dalam program sarani ini, para ibu bapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu juga boleh menyumbangkan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada pihak sekolah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...