Khamis, 3 Januari 2013

Hala Tuju Kecemerlangan Akademik Sekolah

PENDAHULUAN

Sekolah Menengah Teknik Jasin akan bertukar menjadi Kolej Vokasional Jasin mulai tahun 2014 nanti. Oleh yang demikian bagi perancangan kecemerlangan akademik bagi tempoh transisi ini, ianya perlu dilaksanakan untuk memastikan kumpulan pelajar sedia ada (tingkatan 5 tahun 2013) dan pelajar tingkatan 4 (pengambilan terakhir sesi 2013/ 2014) akan mencapai kecemerlangan akademik melalui berbagai startegi yang dirancang oleh pihak sekolah.

Pihak sekolah akan lebih menekankan kepada perancangan berbentuk taktikal serta operasional memandangkan perancangan jangka panjang memerlukan pihak sekolah mengambil kira halatuju baru organisasi yang akan berubah kepada Kolej Vokasional Jasin menjelang tahun 2014. Ini disebabkan pelajar tidak lagi menduduki Peperiksaan SPM tetapi sebaliknya mengikuti program Diploma Vokasional Malaysia bagi pengajian selama 4 tahun.

SASARAN KECEMERLANGAN AKADEMIK TAHUN 2013 / 2014

Pihak pengurusan mensasarkan SMT Jasin berada dalam kedudukan 10 terbaik daripada keseluruhan SMT / SMV yang masih mempunyai aliran teknikal bagi SPM tahun 2013. Sementara bagi tahun 2014 pula SMT Jasin mensasarkan kumpulan terakhir pelajar tingkatan 5 aliran teknikal yang masih berada di sekolah ini akan berada pada kedudukan 5 terbaik daripada 10 buah SMT yang masih dikekalkan sebagai SMT. Dari segi perancangan taktikal dan operasional, pihak sekolah akan memastikan pencapaian GPS dalam peperiksaan SPM bagi tahun 2013 dan 2014 menuju ke arah angka 3.00 dengan terus mengekalkan tahap kelulusan SPM 100% dengan tidak kurang dari 10 orang pelajar mendapat keputusan 10A bagi SPM tahun 2013 dan 2014.

STRATEGI

1. Meneruskan program kelas elit dengan memilih 20 pelajar tingkatan 5 terbaik yang dikumpulkan di dalam satu kelas khusus yang dinamakan sebagai Kelas 5 Integrasi. Kelas 5 Integrasi ini sangat perlu sebagai inkubator khusus bagi menghasilkan calon berpotensi mendapat 10A dengan tidak mengenepikan pelajar kelas-kelas lain yang juga berpotensi untuk mendapatkan 10A.

2. Mewujudkan sistem saringan kelas bagi setiap kursus yang bertujuan untuk melicinkan lagi proses P & P serta memaksimumkan manfaat masa instruksional di dalam kelas dan secara tidak langsung membantu memperbaiki pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS). Kelas-kelas 5A1, 5E1 dan 5M1 ini yang merupakan kelas-kelas kawalan dimana pelajar terbaik yang disaring daripada keseluruhan pelajar tingkatan bagi setiap kursus.

3. Melaksanakan Klinik Akademik oleh setiap panitia dengan makenisme khusus untuk membantu pelajar lemah mengikut mata pelajaran dengan berkesan.

4. Mewujudkan Program Guru Muda atau Pelajar Pembimbing dimana pelajar yang sangat cemerlang dijadikan pembantu guru untuk membantu kumpulan pelajar lemah dalam sesuatu subjek.

5. Menentukan setiap panitia dapat menghabiskan silibus tingkatan 5 sebelum bermulanya Peperiksaan Percubaan SPM.

6. Melaksanakan program mentoring kepada pelajar yang paling lemah (Pelajar Kumpulan Beta) dan pelajar yang paling cemerlang (Pelajar Kumpulan Alpha) yang mana modus operandi program bertujuan menjejaki serta membimbing kumpulan pelajar ini sepanjang tahun dengan cara pihak pengurusan khususnya Pengetua mengadakan pertemuan berkala dari semasa ke semasa.

7. Mengadakan kelas tambahan / tuisyen wajib bagi setiap pelajar pada waktu petang pada Isnin, Selasa dan Khamis mengikut mata pelajar yang dijadualkan.

8. Melaksanakan Kelas tuisyen Waja dengan bantuan dan sokongan PIBG dan diuruskan oleh pihak koperasi bagi subjek-subjek kritikal dengan menggunakan tenaga pengajar pakar daripada luar.

9. Melaksanakan Klinik Pemulihan Khas untuk pelajar asrama yang mensasarkan kumpulan pelajar yang sangat lemah dalam bidang akademik dengan diselia dan dikelolakan oleh warden sekolah.

10. Melaksanakan Program Kelas Pecutan sebulan sebelum pelajar tingkatan 5 menduduki peperiksaan SPM. Kelas Pecutan menumpukan kepada aspek latih tubi yang sangat intensif dari segi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan soalan dan jawapan sebenar peperiksaan SPM tahun-tahun terdahulu.

11. Memastikan setiap panitia mata pelajaran dapat melaksanakan sekurang-kurangnya 3 siri ceramah serta bengkel kecemerlangan SPM yang berkesan dengan menjemput serta menggunakan tenaga pakar dari luar khususnya guru cemerlang dan pemeriksa kertas SPM.

12. Menyediakan Nota Fokus SPM yang berlainan bagi setiap tahun yang diformulasi khusus untuk pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

13. Mengadakan kolaborasi atau kerjasama pintar dengan sekolah-sekolah elit seperti MRSM dan SBP dengan menempatkan sekumpulan pelajar cemerlang mengikuti program akademik dan kecemerlangan di institusi berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...