Selasa, 21 Mei 2013

Guru SMT Jasin Perlu Menfaatkan Laman Group Jasin Best

Minggu ini saya telah membina laman Group Jasin Best melalui akaun Facebook saya sendiri untuk memudahkan semua guru SMT Jasin berkongsi berbagai dokumen secara softcopy yang boleh dimuat turun  (download) atau di preview.  Applikasi FB melalui group ini sangat sesuai untuk memudahkan perkongsian dokumen, menjimatkan masa serta kos cetakan.  Selain itu, saya juga mencadangkan agar Ketua Panitia (bagi SMT Jasin) atau Ketua Jabatan dan Ketua Unit (bagi KV Jasin) untuk membina group masing-masing melalui Facebook untuk membolehkan ahli panitia / jabatan atau unit berkongsi dokumen mahupun mengadakan perbincangan secara maya.   Laman group Jasin Best boleh di akses melalui alamat berikut https://www.facebook.com/groups/jasinbest .  Untuk menyertainya, cikgu hanya perlu memohon untuk menjadi ahli melalui laman berkenaan dan kemudiannya saya melulusklannya kemudian.  Untuk tujuan privacy serta kawalan maklumat, saya hanya akan meluluskan permohonan menjadi ahli kepada guru-guru SMT Jasin sahaja.


Selasa, 14 Mei 2013

Guru Itu Satu Taruhan

"Guru Itu Satu Taruhan" .... begitulah tajuk sajak ciptaan abang saya cg Abdul Razzaq @ Razali Dolmat (Ludba Qazzar).  Cubalah kita semua menghayatinya.


Isnin, 13 Mei 2013

Selamat Hari Guru Kepada Guru SMT Jasin




Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama' yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang Guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah di Hujung Desa
Dia adalah guru mewakili seribu buku.

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Program Sarana Sekolah dan Sarana Ibu Bapa

Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah ialah merupakan inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.  Terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sarana Ibu bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak. Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

 Imej sekolah yang selama ini dilihat sebagai kepunyaan guru dan murid semata-mata perlu ditukar bagi menarik minat ibu bapa dan masyarakat bekerjasama dengan sekolah demi kepentingan pelajar. Ini adalah selaras dengan Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dimana satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi ialah bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak dengan bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan dokumen Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah bagi menyatukan setiap pihak berkepentingan kerana penglibatan semua pihak amat diperlukan untuk melahirkan aset negara yang berkualiti tinggi.   Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari keperluan dan kemudahan anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa di rumah.  Dalam program sarani ini, para ibu bapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu juga boleh menyumbangkan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada pihak sekolah.


Isnin, 14 Januari 2013

Download Borang dan Dokumen SMT Jasin (1)

Pihak pengurusan sekolah telah menyediakan beberapa borang dan format berkaitan yang boleh digunakan oleh Ketua Panitia serta guru penyelaras yang berkaitan. Borang serta fromat berkenaan boleh di download dengan kemudahan Google Doc.  Antara Dokumen (Borang / Format) Berkenaan yang boleh di download ialah  :

Borang Agihan Tugas Ahli Panitia Versi 2013
Borang Rujukan Kes Pelajar Kepada Kaunselor
Borang Perlaksanaan Klinik Akademik Mata Pelajaran
Borang Semakan Latihan dan Tugasan Pelajar
Contoh Format Kertas Kerja Program Sekolah
Format Perancangan Akademik Panitia Versi 2013
Borang Perancangan dan Tugas Jawatankuasa Sekolah








Semakan Markah Kokurikulum 10% Untuk Urusan Permohonan Ke IPT

Ramai juga pelajar lepasan tingkatan 5 yang bertanyakan markah kokurikulum mereka untuk di masukkan dalam urusan permohonan kemasukan ke IPT dan sebagainya. Untuk makluman semua, sebenarnya anda boleh melakukan semakan markah kokurikulum berkenaan melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat http://www.moe.gov.my/ iaitu melalui menu E-Perkhidmatan seperti paparan berikut. Harap Maklum.


Khamis, 3 Januari 2013

Hala Tuju Kecemerlangan Akademik Sekolah

PENDAHULUAN

Sekolah Menengah Teknik Jasin akan bertukar menjadi Kolej Vokasional Jasin mulai tahun 2014 nanti. Oleh yang demikian bagi perancangan kecemerlangan akademik bagi tempoh transisi ini, ianya perlu dilaksanakan untuk memastikan kumpulan pelajar sedia ada (tingkatan 5 tahun 2013) dan pelajar tingkatan 4 (pengambilan terakhir sesi 2013/ 2014) akan mencapai kecemerlangan akademik melalui berbagai startegi yang dirancang oleh pihak sekolah.

Pihak sekolah akan lebih menekankan kepada perancangan berbentuk taktikal serta operasional memandangkan perancangan jangka panjang memerlukan pihak sekolah mengambil kira halatuju baru organisasi yang akan berubah kepada Kolej Vokasional Jasin menjelang tahun 2014. Ini disebabkan pelajar tidak lagi menduduki Peperiksaan SPM tetapi sebaliknya mengikuti program Diploma Vokasional Malaysia bagi pengajian selama 4 tahun.

SASARAN KECEMERLANGAN AKADEMIK TAHUN 2013 / 2014

Pihak pengurusan mensasarkan SMT Jasin berada dalam kedudukan 10 terbaik daripada keseluruhan SMT / SMV yang masih mempunyai aliran teknikal bagi SPM tahun 2013. Sementara bagi tahun 2014 pula SMT Jasin mensasarkan kumpulan terakhir pelajar tingkatan 5 aliran teknikal yang masih berada di sekolah ini akan berada pada kedudukan 5 terbaik daripada 10 buah SMT yang masih dikekalkan sebagai SMT. Dari segi perancangan taktikal dan operasional, pihak sekolah akan memastikan pencapaian GPS dalam peperiksaan SPM bagi tahun 2013 dan 2014 menuju ke arah angka 3.00 dengan terus mengekalkan tahap kelulusan SPM 100% dengan tidak kurang dari 10 orang pelajar mendapat keputusan 10A bagi SPM tahun 2013 dan 2014.

STRATEGI

1. Meneruskan program kelas elit dengan memilih 20 pelajar tingkatan 5 terbaik yang dikumpulkan di dalam satu kelas khusus yang dinamakan sebagai Kelas 5 Integrasi. Kelas 5 Integrasi ini sangat perlu sebagai inkubator khusus bagi menghasilkan calon berpotensi mendapat 10A dengan tidak mengenepikan pelajar kelas-kelas lain yang juga berpotensi untuk mendapatkan 10A.

2. Mewujudkan sistem saringan kelas bagi setiap kursus yang bertujuan untuk melicinkan lagi proses P & P serta memaksimumkan manfaat masa instruksional di dalam kelas dan secara tidak langsung membantu memperbaiki pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS). Kelas-kelas 5A1, 5E1 dan 5M1 ini yang merupakan kelas-kelas kawalan dimana pelajar terbaik yang disaring daripada keseluruhan pelajar tingkatan bagi setiap kursus.

3. Melaksanakan Klinik Akademik oleh setiap panitia dengan makenisme khusus untuk membantu pelajar lemah mengikut mata pelajaran dengan berkesan.

4. Mewujudkan Program Guru Muda atau Pelajar Pembimbing dimana pelajar yang sangat cemerlang dijadikan pembantu guru untuk membantu kumpulan pelajar lemah dalam sesuatu subjek.

5. Menentukan setiap panitia dapat menghabiskan silibus tingkatan 5 sebelum bermulanya Peperiksaan Percubaan SPM.

6. Melaksanakan program mentoring kepada pelajar yang paling lemah (Pelajar Kumpulan Beta) dan pelajar yang paling cemerlang (Pelajar Kumpulan Alpha) yang mana modus operandi program bertujuan menjejaki serta membimbing kumpulan pelajar ini sepanjang tahun dengan cara pihak pengurusan khususnya Pengetua mengadakan pertemuan berkala dari semasa ke semasa.

7. Mengadakan kelas tambahan / tuisyen wajib bagi setiap pelajar pada waktu petang pada Isnin, Selasa dan Khamis mengikut mata pelajar yang dijadualkan.

8. Melaksanakan Kelas tuisyen Waja dengan bantuan dan sokongan PIBG dan diuruskan oleh pihak koperasi bagi subjek-subjek kritikal dengan menggunakan tenaga pengajar pakar daripada luar.

9. Melaksanakan Klinik Pemulihan Khas untuk pelajar asrama yang mensasarkan kumpulan pelajar yang sangat lemah dalam bidang akademik dengan diselia dan dikelolakan oleh warden sekolah.

10. Melaksanakan Program Kelas Pecutan sebulan sebelum pelajar tingkatan 5 menduduki peperiksaan SPM. Kelas Pecutan menumpukan kepada aspek latih tubi yang sangat intensif dari segi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan soalan dan jawapan sebenar peperiksaan SPM tahun-tahun terdahulu.

11. Memastikan setiap panitia mata pelajaran dapat melaksanakan sekurang-kurangnya 3 siri ceramah serta bengkel kecemerlangan SPM yang berkesan dengan menjemput serta menggunakan tenaga pakar dari luar khususnya guru cemerlang dan pemeriksa kertas SPM.

12. Menyediakan Nota Fokus SPM yang berlainan bagi setiap tahun yang diformulasi khusus untuk pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

13. Mengadakan kolaborasi atau kerjasama pintar dengan sekolah-sekolah elit seperti MRSM dan SBP dengan menempatkan sekumpulan pelajar cemerlang mengikuti program akademik dan kecemerlangan di institusi berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...