Khamis, 18 Ogos 2011

Keceriaan Kelas Perlu Dipertingkatkan

Saya bangga melihat kesungguhan beberapa pelajar mengemaskini kelas mereka pada waktu petang. Ada yang sedang menceriakan kelas bertemakan kemerdekaan sempena Bulan Bidang Kemanusiaan yang telah dilancarkan baru-baru ini.

Beberapa pelajar sedang menghias kelas mereka petang semalam
Walaubagaimanapun masih ada beberapa kelas yang belum mencapai tahap 3K yang diharapkan. Saya rasa kelas-kelas ini perlu bimbingan lebih lanjut daripada guru tingkatan masing-masing dan mesti membetulkan sikap bahawa tidak ada harap untuk menandingi kelas yang kerap menang pertandingan 3K. Apa yang penting bukanlah kemenangan tetapi mewujudkan keadaan kelas yang kondusif untuk tujuan pembelajaran.

Dalam pada itu, pihak sekolah akan membuat perubahan dari segi ganjaran hadiah pertandingan 3K kelas.  Pemenang bulanan bukan sahaja menerima sijil tetapi turut menerima hamper (sebuah hamper untuk kelas dan sebuah lagi untuk guru tingkatan).  Hamper pula akan dibungkus sendiri oleh pihak sekolah bagi memastikan barangan makanan yang bermutu di dalamnya dan bukannya "junk food" seperti kebanyakan hamper "ready made" yang terdapat di pasaraya.  Saya juga bangga melihat keadaan Kelas Integrasi yang sangat nyaman dan indah.  Ada juga beberapa kelas yang semakin ceria dan menjadikan Kelas Integrasi sebagai tanda aras.

Kelas Integrasi yang nyaman dan indah
.
Lagi suasana Kelas Integrasi
Bahagian belakang Kelas Integrasi yang dihias indah

Susunan meja dan kerusi Kelas Integrasi

Lagi pemandangan bahagian belakang Kelas Integrasi

Sebuah kelas lain yang nampak ceria dan indah
dan sedia menandingi Kelas Integrasi

Rabu, 17 Ogos 2011

Panduan Perlaksanaan Ceramah / Bengkel Kecemerlangan SPM


Program ceramah serta bengkel kecemerlangan SPM sekolah disarankan mempunyai modus operandi yang jelas dan sistematik supaya program yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan yang jelas kepada pelajar.  Berikut ialah beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan oleh panitia sebelum melaksanakan sesuatu ceramah atau bengkel kecemerlangan SPM :-
  1. Seboleh-bolehnya laksanakan mengikut kumpulan sasaran yang telah dikenalpasti seperti pelajar lemah, sederhana dan kumpulan pelajar cemerlang - kecuali bagi ceramah umum.
  2. Setiap ceramah / bengkel mesti mempunyai KPI atau sasaran yang hendak dicapai. 
  3. Bagi program yang berbentuk bengkel,  mestilah ada aktiviti kumpulan dan perlu diselia oleh beberapa orang guru yang menjadi fasilitator yang bertindak sebagai pembantu  penceramah utama yang dijemput.
  4. Adakan aktiviti "gallery walk" dimana hasil aktiviti kumpulan dipamerkan pada beberapa papan flip chart holder disekeliling dewan. Kumpulan-kumpulan ini kemudiannya bergerak memeriksa atau membuat komen hasil kerja kumpulan yang lain. 
  5. Memanfaatkan pelajar cemerlang yang telah dikenalpasti untuk menbantu aktiviti perbengkelan.  pelajar ini juga boleh menjadi guru muda yang akan membimbing pelajar yang lain.
  6. Kemudahan perlu kondusif - sediakan kerusi dan meja.   Ini bertujuan untuk menghindarkan keadaan tidak selesa pelajar yang terpaksa menulis beralaskan peha atau fail sahaja.
  7. Sediakan kertas mahjong dan pen marker yang mencukupi  untuk melaksanakan aktiviti kumpulan.
  8. Kelengkapan seperti note book,  LCD projector, sistem PA dan sebagainya mestilah telah diuji terlebih dahulu dan dapat berfungsi dengan berkesan.
  9. Jika melibatkan kumpulan yang besar seperti ceramah dan bengkel di dalam dewan sekolah, seelok-eloknya dipasang beberapa papan putih atau flip chart holder dikiri kanan dewan untuk memudahkan penceramah serta fasilitator menunjuk ajar mengikut kumpulan. 
  10. Pastikan pengudaraan dan pencahayaan yang mencukupi di dewan / bilik yang berkenaan
  11. Mesti diedarkan borang penilaian / maklumbalas pelajar berkaitan ceramah / bengkel berkenaan.
  12. Sediakan laporan perlaksanaan ceramah / bengkel berkenaan untuk tujuan rekod dan post mortem. 

Selasa, 16 Ogos 2011

Langkah Untuk Memperkasakan Laman Web Sekolah

Mesyuarat jawatankuasa ICT sekolah hari ini memutuskan langkah segera untuk memperkasakan laman web Sekolah Menengah Teknik Jasin.  Langkah ini dirasakan perlu memandangkan banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh warga sekolah serta stakeholder yang lain termasuk ibu bapa dan masyarakat.  Diantara langkah segera yang akan  dilaksanakan ialah :-

  1. Pelantikan Cik Radiah Talib sebagai penyelaras laman web sekolah.   Perlantikan ini dijangka akan dapat meringankan banyak tugasan yang terpaksa ditanggung oleh penyelaras ICT sekarang iaitu Ustaz Shaparrin yang mesti dilaksanakan dari semasa ke semasa khususnya berkaitan penyelarasan serta penarafan SSQS, HRMIS, e-Gtukar, SKPM dan sebagainya termasuk tugas menyelia keseluruhan operasi peralatan serta prasarana ICT sekolah selain menjadi Ketua Waden.
  2. Memastikan semua Penolong Kanan serta GKMP berperanan aktif sebagai penggerak utama aliran masuk maklumat untuk laman web sekolah dengan cara mewajibkan semua aktiviti yang berkaitan bidang masing-masing mempunyai laporan khusus untuk ke unit laman web sekolah.
  3. Memastikan semua AJK-AJK utama sekolah seperti badan kaunseling, biasiswa, pusat sumber, disiplin, pengawas, SPBT, asrama, badan beruniform dan sebagainya menghantar bahan (dalam bentuk sfot copy) ke unit laman web.  Bahan yang dimaksudkan ialah berkaitan senarai ahli / guru penasihat setiap AJK, foto setiap AJK, carta organisai, fungsi dan tugas dan juga laporan aktiviti semasa setiap unit berkenaan. 
  4. Melaksanakan program latihan yang lebih berkesan kepada AJK laman web berkaitan pembangunan serta penyelenggaraan laman web sekolah.

Isnin, 15 Ogos 2011

Panduan Penyediaan Nota Fokus SPM

Dalam mesyuarat kurikulum baru lalu saya telah meminta semua ketua panitia (kecuali Matematik Tambahan, Matematik dan Lukisan Kejuruteraan) untuk menyediakan Nota Fokus sebagai bekalan pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM.  Nota Fokus ini diharapkan dapat diedarkan kepada pelajar paling lewat sebulan sebelum peperiksaan bertulis SPM.  Ia boleh dianggap sebagai "senjata terakhir" untuk calon SPM disamping boleh membantu mengurangkan perasaan keresahan dan kecelaruan kerana hari peperiksaan yang semakin hampir. Spesifikasi Nota Fokus SPM yang perlu disediakan ialah seperti berikut :-

  1. Kandungan tidak melebihi 50 muka surat dengan saiz kertas A4
  2. Mengandungi bahan berteraskan tajuk atau topik yang amat kerap ditanya dalam peperiksaan SPM.
  3. Rekabentuk kulit muka depan yang sama bagi semua subjek yang melambangkan kesepaduan semua panitia.
  4. Isi yang mudah dikuasai dan mudah juga memperolehi markah.
  5. Boleh dalam bentuk contoh soalan dan jawapan tetapi BUKAN senarai soalan sahaja tanpa skema atau panduan jawapan.
  6. Berteraskan skema jawapan ala SPM
  7. Boleh menggunakan berbagai teknik mengingat termasuk penggunaan akronim, peta minda dan sebagainya.
  8. Tidak perlu mencakupi SEMUA bab atau topik yang terkandung dalam sukatan pelajaran.
  9. Bahan Nota Fokus dihasilkan dengan penggembelingan tenaga serta kreativiti oleh semua guru dalam panitia.
  10. Ada jawatankuasa penilaian peringkat panitia sebelum Nota Fokus dicetak untuk edaran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...