Selasa, 3 Januari 2012

Tahun 2012 - SMT Jasin Jalan Seiring Dengan Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional

Persekolahan tahun 2012 akan bermula pada 4 Januari 2012.  Bagi penghuni asrama SMT Jasin, mereka  telah mula mendaftar kembali ke asrama pada hari ini 3 Januari mulai jam 9.00 pagi.  Kalangan mereka ada juga yang tertahan tidak boleh mendaftar asrama kerana salah laku berat.  Beberapa pelajar pula dibenarkan   mendaftar secara bersyarat setelah menandatangani dokumen akur janji.  Akhirnya ibu bapa dan penjaga juga yang terpaksa menanggung perasaan kecewa dan hampa akibat salah laku yang dibuat anak mereka di asrama pada tahun lepas.  Pihak pengurusan sekolah dan warden terpaksa mendahulukan kesejahteraan majoriti pelajar yang ingin tinggal di asrama dengan aman dan tidak diganggu gugat oleh perangai buruk sesetengah pelajar. Semua pelajar kerap diingatkan supaya tidak sekali-kali melanggar peraturan dan undang-undang sekolah dan asrama dari semasa ke semasa.    

Banner menarik berkaitan tranformasi VocTech yang bakal dipasang
di dinding bangunan SMT Jasin tidak lama lagi
(Sila klik untuk paparan yang lebih jelas)
Tahun 2012 merupakan tahun transisi SMT Jasin menuju ke arah pembentukan Kolej Vokasional Jasin Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2013.  Oleh yang demikian, proses transformasi ini perlu didukung oleh semua warga sekolah khususnya guru dan staf SMT Jasin selain daripada memperkasakan 2 kumpulan terakhir pelajar teknikal yang masih ada di sekolah ini iaitu pelajar tingkatan 5 dan pelajar tingkatan 4 yang bakal mendaftar pada 9 Januari nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...